Masuk ni dah hari ke 8 aku menjadi nurse tak bertauliah. Membantu Ayah & Mama menjaga Atok Minah yang dah tak berdaya untuk bergerak sendiri. Bertuah aku kerana aku yang dipilihNya. Memang ini suatu ujian untuk aku... berat untuk aku mulakan, dan berat lagilah untuk aku melepaskan tanggungjawab ini. Tak mungkin selagi ada hayatnya Atok... aku akan terus bertahan. Biarlah penat jerih lelah ku.. biarlah terpaksa aku tolak tawaran-tawaran itu, pasti ada yang lebih baik untukku nanti. Memang kalau diukur ketabahanku, aku mungkin boleh hilang kesabaran suatu masa nanti. Tapi insya Allah aku akan mendoakan diriku sendiri... agar aku lebih penyabar, agar aku lebih kuat dan lebih sihat.
Seseorang yang istimewa pernah berkata kepadaku... "kadang-kadang kita ada cita, kita pun ada cinta... tapi tanggungjawab ada dibahu untuk dipikul. dan pilihlah tanggungjawab itu terdahulunya, biarpun perlu dikorbankan cita itu, cinta itu... tetapi kita tak akan menyesalinya seumur hidup..." Ketika dia berkata-kata, aku rajuk kerana berkecil hati. Kini, barulah aku fahami maksud kata-katanya. Ya, memang berat tanggungjawab itu untuk dipikul. Memang banyak yang perlu aku korbankan. Memang banyak yang perlu aku berikan...biarpun ada tikanya bukan suatu kerelaan. Tapi aku perlu pikulnya, aku perlu lakukannya... aku perlu menjadikan tanggungjawab ku mendahului segalanya dalam hidupku. Selepas tanggungjawabku kepada Tuhan Yang Esa, Yang Mengetahui segalanya... tanggungjawab perlu aku dahulukan. Benar kata kau, wahai seseorang itu.
Tiap kali terpandang wajah Atok, hatiku bagai tersayup lagi. Pedih di wajahnya menahan kesakitan, genangan air matanya merintih kekesalan... rintihan doanya yang memohon dipermudahkan dan diberikan yang terbaik dariNya... "Ya Allah, jika saat ini perlu berakhirnya hayat Atok, Kau permudahkanlah baginya. Jika itu yang terbaik, Kau ambillah dia. Janganlah kau menguji kami dengan ujian-ujian yang tidak mampu kami tanggungi.." Tapi berkatalah Dia, "tidak diuji hambaNya melainkan Dia tahu mereka mampu..." Sesungguhnya... aku hanya menitip titian waktu yang aku tak pasti penghujungnya. Janjiku pada Ayah & Mama, aku akan bantu selagi terdaya. InsyaAllah, selagi Atok masih bernyawa... jasanya pada kita akan kubalas sebaiknya.
Terbit rasa insaf di hati memikirkan saat aku berhadapan mautku nanti. Aku takut dosa-dosaku yang... astagfirullah.
Ya Allah, Kau yang maha mengetahui segalanya, Kau yang menentukan segalanya, Jadikanlah yang terbaik untukku, dan terbaik untuk semua di sekelilingku. Izinkan aku bertaubat kepadaMu. Aku... aku terlalu kerdil dan hina di sisiMu. Kecil sungguh amalanku tak terbanding dosa-dosa hitamku. Ampuni aku, Ya Tuhanku. Berikanlah aku kekuatan, kesihatan dan ketabahan untuk terus mengucapkan kalimah-kalimahMu sehingga penutup nafasku.
Untuk semua yang menyokongku, yang sentiasa memberi dorongan, yang tidak berputus kata menggembirakan aku, yang tak lelah bertanyakan khabarku, yang tak putus berSMS denganku... TERIMA KASIH yang tidak terhingga. Semoga kalian akan dibalas kebaikkannya suatu hari nanti, tidak di dunia, di akhirat nanti. Insya Allah.


0 Paint Spots:
Post a Comment